“The Lost Posting” : Reedited + adding more spice to it
Uncategorized November 17th, 2008Friendster Blog telah berubah kepada suatu format dan alamat yang baru. Sedikit malang memandangkan “posting” terakhir saya yang telah dipos ke alamat yang lama telah tidak di alihkan sekali ke alamat blog yang baru. Mujur ada sedikit “draf” sebelum saya poskan tulisan berkenaan ke alamat blog yang lama. Dengan ingatan yang ingat-ingat lupa, saya menulis balik “the lost posting” berkenaan di sini berdasarkan draf yang ada…
Ikhlasnya waktu mula-mula menulis blog, niat adalah untuk berkongsi rencah pengalaman harian dan falsafah kehidupan semata. Tidak pernah terlintas di hati ini mahu bicara onar, kekotoran dan jijik politik negara. Tetapi keadaan berubah. Dan untuk sekadar duduk, bual kosong dengan teman… itu dulu!
Jika perlu, aku pasti terjun ke medan pertempuran itu. Dan jika ruang sempitku ini bisa jadi medan memupuk kesedaran rakan, taulan dan teman-teman tersayang yang terbuai, taksub oleh cerita si penglipur lara yang khayalnya indah, tapi realitinya payah… jika medan yang cukup biasa ini bisa buat kalian terfikir seketika tentang hakikat bahwa “semua yang bernama manusia itu sama dan tidak sempurna”… jika coretan saya mampu buat anda berfikir “manusia boleh jadi cukup jijik atas nama politik”….
Jika ia mampu buat saudara-saudari sekalian menghela nafas dalam seketika, merenung jauh dan buat seketika ikhlas… ikhlas!
…
Ikhlas untuk menilai sesuatu atas nama “probability” tiada apa yang mustahil… untuk seketika teruskan membaca hikayat “kejijikan” ini dalam keterbukaan dan keikhlasan untuk menilai… bukan atas nama taksub membuta… terutama yang taksub, saya cabar anda untuk membacanya…
ceritera hikayat
Tersebutlah kisah sa-puloh tahun dahulu, terdengarlah perkhabaran dari naskah akhbar Islam menjaja berita mantan bakal bendahara yang kononnya berkelakuan sumbang luar biasa hampir sa-tahun lamanya. Khabar-khabarpun dihebahkanlah ke s-agenap ceruk negeri, kepada hamba dan rakyat sahaya dalam ceramah-ceramah “ugama”, Ulama bergelar Sabu Al-Khalwati. sang ulama memberi gelar si mantan dengan nama Al-Jubri. Adapun terdengar juga perkhabaran, naskah hikayat “Main Belakang” nyaris dicetak buat tatapan hamba rakyat. Musykil dan hebohlah masing-masing rakyat, berbisiklah sesama mereka apakah benar perkhabaran dibawa?
Arakian sampai jualah perkhabaran kepada mantan mamak bendahara. maka gusarlah ia. Dek gusar, sang mantan bendaharapun mengutus si mata-mata, buat menyelidik berita luar biasa. Agar terungkailah kesah sa-benarnya. Arakian sa-tahun lamanya menyelidik, bukti digali dan dihimpun dari sa-genap ceruk negeri, akhirnya yakinlah mantan bendahara bersungguh benarlah perkhabaran yang diterima. Gentar dan maghsyul ia seketika…
Atas rasa tanggungjawab dan sayangkan negeri terchenta yang satu, tidak sangguplah mamak bendahara memberi tugasnya kepada manusia sademikian rupa. Mantan bendaharapun nekadlah. Dijatuhkan hukuman dengan membuang mantan bakal bendahara. dari jawatannya Mantan bakal bendahara dihukum penjara.
Dengan tidak semena-mena tiba-tiba berubahlah pula nada kumpulan ulama, serta-merta mantan bakal bendahara didakwa diperdaya. Dan sa-telah 10 tahun, sang ulama Al-Khalwati tidak lagi menggelar bekas mantan bakal bendahara dengan gelar Al-Jubri sebaliknya dengan kata-kata mulia “saudara”, “sahabat”.
Anak-anak muda yang baru maka tidak terdengarlah oleh mereka ceritera lama ini, mantan bakal bendahara kini dianggap benar-benar diperdaya tanpa usul pereksa. Namun hakikatnya, dongeng inilah ceritera sabenarnya. Andai ragu, berusul lah pada orang tua-tua, orang dulu-dulu yang lazim ke ceramah “ugama”. Berdustalah mereka jika menafi perkara yang benar ini. Maka laknat yang Esa jua-lah yang menanti pada mereka yang berdusta!
- rewrote and reedited 6 Oktober 2008