Erti kemerdekaan – How low had we become?
Uncategorized September 2nd, 2008Hari ini saya merasa sangat sedih melihat apa yang terjadi…
Tak dinafikan ada segolongan kecil yang mendokong idealis yang diwar-war dari seorang individu. Tapi mentaliti Melayu ini amnya tidaklah terlalu “bersih” dan kompleks yang mana ianya terlalu mengambil berat “keadilan semua”… Orang Melayu marah kerana kos hidup mereka meningkat, harga petrol dan barang keperluan am naik, taraf hidup mereka terdesak dan tertekan; lalu kaitannya ialah korupsi, nepotisme dan justeru ketidakadilan dicanangkan berlaku. Orang Melayu bukannya marah sangat kerana korupsi dan nepotisme berlaku; yang lalu kesannya adalah kesusahan mereka pada hari ini. Yang paling penting adalah kesan yang dirasa, sebab sudah jadi perkara kedua, nauzubillah…
Jangan cuba bezakan taraf intelektual orang kampung dengan seorang yang berijazah sarjana muda.. fikiran mereka tidak sejauh anda (cuba semak, atau barangkali anda juga kadang tak ada bezanya?)
Justeru hari ini seperti yang pernah terjadi kepada nenek moyang kita suatu ketika dahulu.. kita memilih untuk memenuhkan tembolok sendiri, menyenangkan makan pakai kita dengan tidak lagi berkira cara itu betul atau jelas meragukan… yang penting adalah diri sendiri saja…
Dan bagi orang-orang yang sebegini… betapa rendahnya maruah kita sebagai seorang Islam dan Melayu?
Tun Mahathir silap bahawa orang Melayu mudah lupa. Tun… hakikat sebenarnya kita sememangnya tidak pernah belajar..
Ya Allah,
Apakah aku yang tersalah sebenarnya? Barangkali ada cahaya yang menanti kami dihujungnya yang telah Engkau sediakan cuma aku yang jahil, degil dan tak pantas untuk mengakuinya?
Atau akan perlukah kami belajar sekali lagi dengan cara yang menyakitkan… agar kami tahu erti penat jerih, keringat, tangis dan air mata darah nasionalis dan pendekar-pendekar Melayu dari abad dan dekad-dekad lalu… harga dari kemerdekaan Tanah Melayu ini? Pada-Mu ku bermohon… Pada-Mu aku pasrah…
PKR pertahan kerusi Permatang Pauh
(Utusan Malaysia, 27 Ogos 2008)
BUKIT MERTAJAM 26 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan majoriti 15,671 undi.
Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar, 61, yang memperoleh 31,195 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, yang meraih 15,524 undi.
Seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hanya mendapat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.
Anwar semasa berucap kepada ribuan penyokongnya selepas pengumuman keputusan itu berkata, ia merupakan kemenangan rakyat.
Beliau turut mengulangi hasratnya untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru bersama pakatan pembangkang bagi mentadbir negara.
Katanya, keputusan pilihan raya itu merupakan isyarat awal ke arah mencapai matlamat tersebut.
Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Permatang Pauh, Roslan Yahaya pada pukul 10.05 malam ini di pusat penjumlahan undi Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.
Sebanyak 38,144 atau 65.25 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi keluar mengundi walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan renyai-renyai pada tengah hari.
Sebanyak 490 anggota polis telah membuang undi secara pos Sabtu lalu.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR bertanding di kawasan itu.
Anwar merupakan penyandang kerusi itu dari 1982 sehingga beliau dipecat dari UMNO dan kerajaan pada 1998.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999.
- 27 Ogos 2008