majlis berbuka puasa di sana sini

Uncategorized No Comments »

Ramadhan 1429H yang baru lepas padat dengan majlis berbuka puasa di sana sini hinggakan ada program berbuka puasa yang bertindan tarikhnya. Maka tak dapatlah aku hadirkan diri pada semuanya. Berbuka puasa antaranya bersama “nakama” Puchong, STARian dan UTMPian. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan sempurna…

i)Buffet Ramadhan di Chicken Hartz, Sunway Pyramid

Dulu, dua tahun lepas pun kami geng-geng Puchong pernah berbuka di sini. Dan tahun ini, sekali lagi kami ke sini. Ada jugalah yang dulunya ikut berbuka di sini 2 tahun lepas telah tidak tidak dapat ikut bersama lagi. Berpindah, komitmen kerja dan sebab masing-masing. Yang masih ada Daus, Asrul, Razi, Makwei, Lukman, Polong, Jinz dan aku. Dan yang dulunya tak hadir, tapi kali ini ada ialah Nuar, Pogo dan Faiz.

Daus yang ajak ke sini lagi tahun ni, dan dia sendiri “sponsor” sikit. Oklah tu, Alhamdulillah. Terima kasih bro, moga Allah panjangkan umur lu dan sentiasa berikan lu hidayah. Kami-kami yang lain ni, cuma bayar RM20.

Kami masuk lewat, jadual pukul 8 malam hingga tutup kedai. Berbuka, alas perut dulu di rumah. Selepas solat baru bergerak ke sana. Jadi dapatlah makan dengan tenang dan tak gelojoh-gelojoh. Aku taklah begitu bernafsu sangat nak makan banyak, tapi “berusaha” jugak supaya jumlah makanan yang dimakan >= RM20 yang dibayar. Pada akhirnya, aku kenyang. Tapi tidaklah sampai bengkak perut dan tali usus (Nauzubillah). Tapi itu sendiripun dah lari dari konsep Islam, “Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang”. Betul tak?

ii)Buffet Ramadhan di Intekma, Shah Alam

Melibatkan rakan-rakan STARian Batch of 40 dahulu. Jumlah yang datang ramai, hampir 50 orang. Menunjukkan semangat persahabatan di sekolah dulu masih utuh. Penganjur yang rajin ialah Meeru dan Gbam.

Secara jujur, aku tak rapat dengan semua orang dahulu sekalipun dalam satu “batch”, antara sebabnya aku sendiri yang tak begitu rajin membuka mulut dan masalah perbezaan yang ada dulu. Tapi apabila dah jadi dewasa ni, rasanya tak timbul lagi perbezaan tu. Syukur. Semua boleh bertegur sapa dengan baik. Mungkin kedewasaan mengajar? Dan ada seorang rakan yang dulu aku pernah bertelingkah sedikit, dia datang menyapa, dan aku malu sendiri kerana dia yang menegur dulu. Kelakar jugak ingat kisah lalu tu.

Tempatnya memang agak menarik dan meriah. Ada tempat makan dalam dewan, dan jugak di tepi kolam mandian.Di tepi-tepi kolam mandian tu, didirikan khemah-khemah makanan yang pelbagai jenis. Agak “grand” dalam dewan dan Meeru pilih tempat kami di dalam dewan. Jadi, sebab itu jugak kami kena menuruni tangga untuk ambil makanan yang kebanyakannya di gerai-gerai di tepi kolam.

Aku tak makan banyak. Tak sampai kategori kenyang. Malahan

Hmm… tapi entah la, aku tak begitu kesah sangat (walaupun sedikit kesal juga kerana bayaran yang dikenakan RM38, yang pada aku sedikit membazir). Barangkali sebab aku memang tak merancang untuk “mencukup”kan makan sampai jumlah RM38, dan barangkali jugak sebab aku ralit berborak dengan rakan yang lama tak jumpa. Tujuan utama aku memang sekadar nak jumpa rakan yang lama tak jumpa. Lagipun tahun lepas aku tak ikut serta.

Aktiviti sampingan usha gambar-gambar lama (ada yang bawak album gambar waktu zaman di STAR), cabutan bertuah dan selepas berbuka ada aktiviti futsal. Aku tak ikut yang ni dan balik terus. Insya-Allah lain kali kalau berkesempatan…

iii)Majlis Berbuka Puasa di bangunan THO, Kuala Lumpur

Dari awal aku teringin nak ikut serta, walaupun tak begitu kenal sesiapa. Tapi memandangkan ianya bertujuan kebajikan, aku buat keputusan untuk ikut serta.

Menarik jugak untuk kenal rakan-rakan yang selama ini hanya kenal di dunia maya. Keikhlasan dapat dirasakan pada riak wajah mereka dalam memperkatakan tentang Islam dan Melayu. Pak cik Mansor, abang Zul, Wan dan yang lain-lain. Dan jumpa adik-adik seagama, sebangsa dari rumah bakti yang pintar tapi mungkin tak begitu bernasib baik. Lahir dalam keluarga yang miskin dan ada antaranya anak yatim.

Harapnya kata-kata semangat, motivasi dan nasihat yang telah diberikan pada mereka dapat dijadikan panduan hidup. Agar adik-adik ini jadi generasi yang sedar apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. Bukan sekadar menerima membuta-tuli mana-mana versi “kebenaran” yang pelbagai sekarang ini.

Kutipan derma dan duit raya juga di adakan sesama kami, dengan harapan derma yang tidak sepertinya dapat serba sedikit diguna pakai untuk menolong anak bangsa kami yang kurang berkemampuan ini, yang sedang berjihad di jalan Allah melalui medan pelajaran.

iv)Buffet Ramadhan di Intekma, Shah Alam (II)

Hohoho.. aku tak pergi yang ini, sebab bertindan dengan program iii) tapi memandangkan aku secara langsung membantu menjadi pengelola tak rasmi (selain Nik Sha, Aimi dan Asrul), aku suka untuk mengulasnya. Idea untuk adakan di sini datang daripada aku juga sikit-sikit (memandangkan STARian pun buat di sini) dengan bajet RM38. Affordable but honestly, I still until now think it’s better to organize this program in Halwa. (which is my first suggestion) Senang tak payah buffet-buffet, sekadar datang dan buat tempahan seadanya sekaligus tak membazir. Beras pun beras itu jugak, bukan pakai beras super special tempatan pun, bukan beras tanam dalam pasu ke, hidroponik ke… nasi itu juga la. Tapi kehendak majoriti dan pengelola dihormati. Jadi buat je la kat sini. Tambahan, yang penting nak jumpa kawan-kawankan?;)

Tak macam STARian, Nik Sha dan Aimi tempah tempat makan dekat kawasan kolam mandi, jadi senanglah nak ambil makanan. Terhibur dan lebih meriah. Lagi meriah sebab dengarnya Nizal dan Zam sempat berkaraoke lagu jiwang “rock kapak” (sebab kawasan bawah tu ada pentas karaoke). Belasah… Janji terhibur (walaupun tak sesuai kut bulan Ramadhan ni…)

v)Majlis Berbuka Puasa di Niosh, Bangi

Sam tak pula mengajak aku untuk aktiviti ni, Hati aku sendiri memang teringin untuk libatkan diri berkaitan aktiviti kebajikan sebegini. Jujurnya, bukan semata sebab Ramadhan… cuma memang sudah lama terniat di hati. Lagipun, aku memang suka dengan budak-budak.

Waktu dapat informasi ini secara tak langsung dalam YahooGroups STARian 40, aku terus tanyakan pada Sam untuk turut serta. Informasi asal tak jelas sangat. Yang pasti, untuk program berbuka puasa ini berdasarkan Sam, “Kita tolong jaga dan tengokkan budak –budak aje…”

Masa nak pergi baru Sam terangkan betul-betul. Sebenar, aktiviti ni ialah majlis berbuka puasa untuk kakitangan Niosh, tapi diorang undang rumah kebajikan sekali. Sam pulak memang sukarelawan untuk yayasan kebajikan ini, jadi dia ikut sertalah program ini.

Sampai di sana sudah penuh dengan warga-warga Niosh, anak-anak yatim dari yayasan dan beberapa sukarelawan yang lain. Keriangan kelihatan pada wajah adik-adik yang tak tahu apa-apa ini, Aku sedikit tersentuh. Di sebalik keriangan, jauh di sudut hati aku sedar ada antara hati-hati ini yang kekosongan. Betul kata orang tua-tua, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Yang sakit, yang menangis, hakikatnya bukan aku… Yang menerima dan menanggung sakit siksa nerakanya virus tiada berubatnya ini juga bukan aku…

Aku tak berminat nak ulas sangat pasal makanan. Makanan percuma, sedap, cendol ok (tak macam cendol Intekma), nasi beriani, ayam rempah… memang menyelerakan juadah berbuka puasa. Tapi niat aku datang sekadar ikhlas “to make contact” dengan yang bernasib malang, untuk menginsafi diri pada Allah Ta’ala dan jika boleh teringin menguntumkan sedikit senyuman di wajah mereka.

Tak susah untuk “make contact” dengan adik-adik ni. Mungkin mereka sendiri sudah terbiasa dengan orang. Manja pun ada. Siap suruh angkat dan dukung-dukung. Paling tua abang Long (aku lupa nama betulnya), dia memang digelar begitu kerana yang paling tua antara semua.

Selepas makan dan bersolat Manghrib, sesi penyampaian duit raya kepada adik-adik ni, bungkusan kuih raya dan derma sumbangan kakitangan Niosh kepada pengelola Yayasan Salam oleh wakil penganjur. Tamat program, warga-warga cilik ini dihantar kembali ke kediaman mereka dengan bas. Hiruk-pikuk suasana bas. Sukarelawan lain dan aku memerhati dari luar, melihat riuh adik-adik kecil. Bas bergerak pulang dan aku melambai sedikit.

Insya Allah, ada rezeki mungkin aku ke sana berjumpa mereka. Teringat salah seorang adik cilik dengan nada manja mintak duit raya semasa majlis berbuka. Dan aku sendiri sudah berjanji padanya. Mungkinkah waktu aku datang nanti dia masih ingat lagi? Sudah elokkah pula mata abang Long yang sakit tempohari jika aku ke sana nanti?

* Dan aku ke sana juga pada majlis hari raya tempohari… J

20 Oktober 2008

Bookmark and Share

“The Lost Posting” : Reedited + adding more spice to it

Uncategorized No Comments »

Friendster Blog telah berubah kepada suatu format dan alamat yang baru. Sedikit malang memandangkan “posting” terakhir saya yang telah dipos ke alamat yang lama telah tidak di alihkan sekali ke alamat blog yang baru. Mujur ada sedikit “draf” sebelum saya poskan tulisan berkenaan ke alamat blog yang lama. Dengan ingatan yang ingat-ingat lupa, saya menulis balik “the lost posting” berkenaan di sini berdasarkan draf yang ada…

Ikhlasnya waktu mula-mula menulis blog, niat adalah untuk berkongsi rencah pengalaman harian dan falsafah kehidupan semata. Tidak pernah terlintas di hati ini mahu bicara onar, kekotoran dan jijik politik negara. Tetapi keadaan berubah. Dan untuk sekadar duduk, bual kosong dengan teman… itu dulu!

Jika perlu, aku pasti terjun ke medan pertempuran itu. Dan jika ruang sempitku ini bisa jadi medan memupuk kesedaran rakan, taulan dan teman-teman tersayang yang terbuai, taksub oleh cerita si penglipur lara yang khayalnya indah, tapi realitinya payah… jika medan yang cukup biasa ini bisa buat kalian terfikir seketika tentang hakikat bahwa “semua yang bernama manusia itu sama dan tidak sempurna”… jika coretan saya mampu buat anda berfikir “manusia boleh jadi cukup jijik atas nama politik”….

Jika ia mampu buat saudara-saudari sekalian menghela nafas dalam seketika, merenung jauh dan buat seketika ikhlas… ikhlas!

Ikhlas untuk menilai sesuatu atas nama “probability” tiada apa yang mustahil… untuk seketika teruskan membaca hikayat “kejijikan” ini dalam keterbukaan dan keikhlasan untuk menilai… bukan atas nama taksub membuta… terutama yang taksub, saya cabar anda untuk membacanya…

ceritera hikayat

Tersebutlah kisah sa-puloh tahun dahulu, terdengarlah perkhabaran dari naskah akhbar Islam menjaja berita mantan bakal bendahara yang kononnya berkelakuan sumbang luar biasa hampir sa-tahun lamanya. Khabar-khabarpun dihebahkanlah ke s-agenap ceruk negeri, kepada hamba dan rakyat sahaya dalam ceramah-ceramah “ugama”, Ulama bergelar Sabu Al-Khalwati. sang ulama memberi gelar si mantan dengan nama Al-Jubri. Adapun terdengar juga perkhabaran, naskah hikayat “Main Belakang” nyaris dicetak buat tatapan hamba rakyat. Musykil dan hebohlah masing-masing rakyat, berbisiklah sesama mereka apakah benar perkhabaran dibawa?

Arakian sampai jualah perkhabaran kepada mantan mamak bendahara. maka gusarlah ia. Dek gusar, sang mantan bendaharapun mengutus si mata-mata, buat menyelidik berita luar biasa. Agar terungkailah kesah sa-benarnya. Arakian sa-tahun lamanya menyelidik, bukti digali dan dihimpun dari sa-genap ceruk negeri, akhirnya yakinlah mantan bendahara bersungguh benarlah perkhabaran yang diterima. Gentar dan maghsyul ia seketika…

Atas rasa tanggungjawab dan sayangkan negeri terchenta yang satu, tidak sangguplah mamak bendahara memberi tugasnya kepada manusia sademikian rupa. Mantan bendaharapun nekadlah. Dijatuhkan hukuman dengan membuang mantan bakal bendahara. dari jawatannya Mantan bakal bendahara dihukum penjara.

Dengan tidak semena-mena tiba-tiba berubahlah pula nada kumpulan ulama, serta-merta mantan bakal bendahara didakwa diperdaya. Dan sa-telah 10 tahun, sang ulama Al-Khalwati tidak lagi menggelar bekas mantan bakal bendahara dengan gelar Al-Jubri sebaliknya dengan kata-kata mulia “saudara”, “sahabat”.

Anak-anak muda yang baru maka tidak terdengarlah oleh mereka ceritera lama ini, mantan bakal bendahara kini dianggap benar-benar diperdaya tanpa usul pereksa. Namun hakikatnya, dongeng inilah ceritera sabenarnya. Andai ragu, berusul lah pada orang tua-tua, orang dulu-dulu yang lazim ke ceramah “ugama”. Berdustalah mereka jika menafi perkara yang benar ini. Maka laknat yang Esa jua-lah yang menanti pada mereka yang berdusta!

- rewrote and reedited 6 Oktober 2008

Bookmark and Share

Reunion UTMPian 2008, Kuantan – Where Everything Began…

Uncategorized 3 Comments »

Venue : Kuantan, Pahang
Date : 23-24th August 2008

"Tempat jatuh lagi di kenang, Inikan pula tempat bermain?"

To be there 5-6 years ago and come back again, how does it feel?

So this is what it all about, this annual year reunion for 2008. We would like to experience and reminisce the place where we used to be together and hanging out, the path we used to take and walked to our classes, to have a glimpse on the places that we use to play, study and rendezvous… where we used to cry, to laugh… the place we once fell, and build up ourselves again until the very person we are today. For us to "syukur" for what He had let us be nowadays. Kuantan… where everything began… here we come again ;)

Sebenarnya, seakan tiada idea untuk menulis “thread” berkenaan Reunion UTMPian 2008 pada pagi Isnin ini. Hati dan perasaan sedikit bercamput baur dengan hal ehwal semasa, mesej-mesej dari seorang dua insan yand sedikit mencuit hati dan termasuk juga beberapa kejadian kurang diingini yang berlaku dalam sehari dua ini. Namun, terlanjur inilah masa terluang yang wujud (memandangkan esok akan kembali berkerja), barangkali ada eloknya saya menulis, sementara “reunion mood” ini masih ada. Bak kata Pnadz, “baik kau tulis sementara teringin nak tulis”.

Idea asal perjumpaan semula pada tahun ini melibatkan beberapa “venue”, termasuklah Kuantan (idea asal daripada Daus), kemudiannya Port Dickson (idea Zam kalau tak salahnya) dan ada juga yang mencadangkan sekadar di Genting Highlands cuma. Saya amnya tidaklah begitu berkira di lokasi mana pun (sekalipun hati sendiri sedikit terkinja mahu ke Pahang lagi!), yang penting pada saya adalah lokasi yang paling memudahkan teman-teman untuk hadir, dan tidak membebankan. Justeru pada awal, fikiran saya agak cenderung memilih lokasi Port Dickson, dengan harapan akan lebih ramai yang dapat turut serta (kerana lokasinya yang lebih “central”). Tetapi maklumbalas dan sms daripada beberapa rakan, memperlihatkan reaksi yang sebaliknya… rata-ratanya kelihatan lebih berminat untuk “kembali” ke Kuantan, dan apabila saya “revert” lokasi daripada Port Dickson ke Kuantan, ramai yang ternyata gembira. Antaranya, termasuklah Leen, Ana, Ameen, Aimi dan seorang dua lagi.

Maka setelah keputusan lokasi dan tarikh ditetapkan, bermulalah percaturan itu dan ini, perangkaan begitu dan begini, dan perlantikan “committee” secara “voluntary” mahupun sesuka hati, bertujuan memastikan program yang dirancang dapat diterjemahkan menjadi realiti… dan ini berjalan hampir sebulan setengah. Cabaran umum yang dihadapi, terutamanyalah peserta “keluar dan masuk”, namun hati dikuatkan untuk melaksanakannya juga, memikirkan amanah, janji dan keinginan sendiri yang mahu “make it happen no matter what”. Syukur pada Allah, perancangan telah dapat dilakukan dengan agak baik.

Dan pada tarikh yang dijanjikan maka bergeraklah kami ke destinasi Kuantan, Pahang… di mana cerita persahabatan kami bermula. Konvoi pada asalnya mula berkumpul di tol Gombak; 4 buah kereta yakni kereta Makwei, Epoi, Ekin dan Pogo. Sebuah kereta telah bergerak awal, (Jega, Jaya, Jesree, Cheq Rin dan Pnadz), sementara rakan-rakan yang menghadiri ujian SPA akan hanya akan mula bergerak ke lokasi pertemuan, selepas tamat peperiksaan yang diduduki. Dua orang rakan sekerja dari Pakistan telah turut serta dalam reunion ini.

Kami tiba di Mercu Beach Resort hampir pukul 1 lebih, “check in” dan kemudiannya mandi, berehat dan menunaikan solat. Sebuah lagi kereta yang telah bersama dalam konvoi pada awalnya, telah berpecah untuk masuk pekan dan membeli-belah beberapa barang keperluan bagi acara barbeque pada malamnya. Aktiviti petang itu dipenuhi dengan cara tersendiri dan bebas. Ada yang mandi di kolam dan di pantai, bergambar, berbual-bual, dan ada juga yang merangka-rangka aktiviti-aktiviti permainan yang bersesuaian pada malam berkenaan dan esok harinya.

Tiba malam, acara barbeque pun bermula. Juadah yang dimasak dan dibakar sendiri; ayam, daging, sosej dan burger… nasi putih, air oren dan kacang pagoda. Biasa saja kan? Tapi boleh lah… meriah juga! Acara seterusnya, ialah “kotak beracun”, dengan semua rakan-rakan berhimpun mengelilingi unggun api. Maka semuanya terkenalah hukuman itu dan ini, melakonkan watak kelakar, menggoda, menyanyikan lagu (sengau dan rock), soalan-soalan cepumas dan sebagainya. Hilai dan gelak-tawa memecah kesunyian deru ombak pantai Cherating, sibuk mengetawai rakan yang terkena.. tapi bila sampai giliran sendiri, masing-masing berkerutlah muka! Dan ada juga yang bernasib baik menerima “cabutan bertuah” di sebalik hukuman yang pelik-pelik :)

Lewat dinihari, rakan-rakan yang menghadiri peperiksaan SPA tiba untuk menambah kemeriahan bersama juadah tambahan, bihun goreng dan keropok. Sesi permainan di teruskan dengan aktiviti “ice breaking”, di mana masing-masing menceritakan status dan keadaan terkini masing-masing.

Pagi 24hb, ada yang bangun awal untuk bersarapan dengan kupon percuma, bersarapan dengan bihun dan juadah lebihan semalam, ada juga yang telah ke pantai awal-awal pagi untuk sesi bergambar dan tak kurang juga yang masih bergebar. Tapi (rasanyalah!), boleh dikatakan tak ada yang mandi pagi ;) Kira-kira pukul 9 pagi, aktiviti “bola sepak pantai” dimulakan, dengan pasukan-pasukan yang telah dibahagi. pasukan-pasukan terdiri daripada UTM4Ever (ketua pasukan Atuq), DataComn (ketua pasukan Zam), Oracle (ketua pasukan Nuar) dan SPA Boleh (ketua pasukan Asrul). Sedikit tergugat juga aktiviti pagi itu, dengan omelan-omelan kerana ada yang sudah tidak sabar untuk ke pantai. Tapi hati dikeraskan, kerana segalanya sudah direncana… apa yang boleh dilakukan, cumalah dengan memendekkan waktu perlawanan- perlawanan (kadang-kadang ada yang 6 minit saja, tapi ramai yang tak perasan!).  Apapun, segalanya berjalan lancar. Kelakar juga melihat rakan-rakan terutamanya gadis-gadis yang tidak biasa menendang bola, yang memegang bola (macam bola jaring daaa!) dan pelbagai telatah lagi. Akhirnya, pasukan yang menang ialah DataComm yang diketuai Zam, dan naib juara ialah pasukan UTM4Ever. Penjaring terbanyak Kejohanan Bola Sepak Pantai Reunion UTMPian 2008 adalah saudara Lukman Hakim (pheewitt!!).

Tamat permainan hampir pukul 10, masing-masing tanpa bertangguh ke pantai untuk sesi bermandi-manda. Pantai yang kosong pada mulanya dan seakan tiada apa-apa “aksesori” permainan, tiba-tiba terpenuhi dengan gelak-tawa kami dan aksi-aksi tersendiri. Kemeriahan terpancar dan kegembiraan terpamer, “sumersup berpusing”, tanam orang, bergambar dengan pelbagai cara. Tidak cukup dengan aktiviti pantai, masing-masing yang belum puas memenuhkan pula kolam mandian. Aktiviti terjun pelbagai gaya memecah suasana, dan kami buat bagaikan “kolam mandi ini kami yang punya”.

Kira-kira 12.30 tengah hari, setelah bersiap-siap, semua telah bersiap dan  menunggu di hadapan lobi resort untuk “checkout” dan aktiviti penyampaian hadiah bagi pemenang Kejohanan Bola Sepak Pantai Reunion UTMPian 2008. Dan di sini, yang tidak dapat terus bersama kami “Pnadz and the gang”, mengucapkan selamat tinggal sambil bergambar kenangan dengan semua peserta reunion.

Bagi yang tinggal, kami meneruskan perjalanan kami untuk makan tengah hari di tepian pantai Balok sambil ambil angin di situ. Di susuli dengan jalan-jalan di Telok Chempedak sambil bergambar kenangan seadanya.

Lewat petang kira-kira pukul 4 lebih, kami menyusuri bandar Kuantan, melihat perkembangan tempat di mana kami pernah berjalan-jalan dahulu. Kemudiannya ke Masjid Tengku Ampuan Afzan untuk bersolat Jamak, masjid di mana kami menunaikan solat Jumaat dahulunya, atau “lepak-lepak” sementara menunggu kuliah. Kami seterusnya melintasi jalanan untuk melihat kampus UTMP yang tinggal sejarah, yang kini adalah kampus untuk pelajar siswi kolej Shahputra. Masing-masing bergambar di hadapan kampus dan dengan kebenaran penjaga bertugas, dapatlah kami masuk sedikit ke dalam kampus untuk bergambar kenangan. Hati sedikit teringat kenangan yang lalu. Siswi-siswi kolej yang lalu-lalang seakan berbisik, barangkali tidak faham apakah yang seronoknya, bergambar di hadapan kolej mereka ini. Cuma kami-kami yang tahu, cuma kami-kami yang terasa kenangannya. Barangkali bagi setengah orang, ianya “meaningless”, tetapi tidak pada kami. Waqas rakan dari luar yang memahami apa yang berlaku memberi komen pendek “For me it was meaningfull”. Saya sekadar tersenyum dan hati sendiri berkata setuju.

Seterusnya, kami menelusuri jalanan dari masjid Tengku Ampuan Afzan, jalanan pintas yang pernah kami lalui dulu untuk ke kampus UTM dari asrama kediaman. Kereta-kereta di pandu perlahan dan masing-masing mengimbau kisah-kisah sendiri di jalanan ini (barangkali ada yang pernah mengusik, “memetik bunga” dari kalangan rakan sekuliah? ;) ). Kami tiba di bekas asrama kediaman kami, di Indera Mahkota 6. Masing-masing “teruja” melihat kiri dan kanan, seakan rusa masuk kampong. Penduduk tempatan yang sudah memenuhi rumah-rumah bekas asrama kami, melihat tidak faham karenah mereka-mereka yang “agaknya tersesat” bagi mereka… pelik melihat kami seakan “seronok” melihat rumah mereka. Sekali lagi… cuma kami-kami yang tahu. Kami bergambar ringkas dan mula  mencongak untuk bergerak pulang ke ibu kota.

Sepanjang perjalanan pulang, tiada apa yang terlalu menarik. Kami berhenti solat dan makan di hentian PLUS, hujan yang lebat dan akhirnya kami berhenti sekali lagi di hentian Gombak, “checkpoint” terakhir program reunion ini. Masing-masing “berpindah kereta” (untuk memudahkan mereka yang berdekatan destinasinya), salam dihulurkan dan selamat tinggal diucapkan. Hati sedikit tersayu, tetapi yang pastinya kepuasan begitu terasa di hati ini.

… … … … … … … … … …

Seminggu telah berlalu… mengimbau kembali aktiviti yang telah dijalankan, melihat gambar-gambar yang diambil, sekali-sekala saya masih boleh tersenyum, terseringai dan ketawa kecil melihat telatah rakan-rakan mahupun diri sendiri. Gambar dengan pelbagai gaya… tetapi dari riak wajah yang tergambar jelas adalah kegembiraan dan keikhlasan. Dan untuk itu saya bersyukur, kerana itulah yang paling utama.

Barangkali ada cacat celanya, kekurangan yang tak mampu di atasi, tapi saya dan rakan-rakan yang telah berusaha gigih menjayakan program kali ini, kami telah melakukan yang terbaik. Terima kasih Zam, Daus, Atuq, Aimi dan Nuar. Tak lupa Ekin (dengan bekas air dan periuk nasi), Niksha dengan bihunnya dan lain-lain yang saya tertinggal.. Dan sebenarnya, semua warga UTMPian batch of 2001 yang telah menjayakan aktiviti ini… Alhamdulillah…

Mohon ampun dan maaf bagi keterlanjuran yang tidak terniat sebutir zarah pun di hati, kekurangan dan yang terkilan di sana sini…

Semoga ketemu lagi di suatu masa yang lain, Insya-Allah… :) - 1 September 2008

Senarai Peserta Reunion UTMPian 2008
1.    Aimiza
2.    Aishah
3.    Asyikin
4.    Asrul
5.    Atuq
6.    Cheq Rin
7.    Daus
8.    Epoi
9.    Faiz
10.    Farrukh
11.    Jaya
12.    Jega
13.    Jesree
14.    Lizam
15.    Leen
16.    Lukman
17.    Makwei
18.    Mas
19.    Nuar
20.    Nik Sha
21.    Nizal
22.    Pnadz
23.    Pogo
24.    Saufy
25.    Qiestina
26.    Waqas
27.    Zurd

Bookmark and Share

Reunion SMKTTian 2008, Port Dickson

Uncategorized No Comments »

Secara jujur, kami tidaklah merancang Reunion ini dengan begitu rapi (hanya seminggu sebelum kejadian; idea tukang karut si Ayei), tapi alhamdulillah, ianya menjadi satu percutian yang sangat menarik. Barangkali juga ini berkat kecekapan mereka-mereka yang menguruskannya (Khalil dan Umi), dan juga kerana masing-masing tak lokek untuk menyumbang itu dan ini.

Sebenar, saya bermaksud menulis “entry” ini lebih awal, tetapi oleh kerana terdapat satu lagi reunion yang dijalankan pada hujung bulan Ogos, saya mulanya bercadang untuk menyatukan kedua “entry” ini. Tapi alih-alih malas pula… hmm… jadi di bawah adalah “petikan-petikan” yang saya ambil dari blog rasmi SMKTTian ;) - 28 August 2008

dicurik dan diplagiat dari blog rasmi SMKTTian 2001

UPDATE 1: Mini Reunion Port Dickson
Seramai 15 orang bekas pelajar memeriahkan majlis. 5 daripada 6 kelas berjaya menghantar wakil. Jadi, gambar mengikut kelas Tingkatan 1, 1996 telah dirakamkan sebagai kenangan mengingati zaman-zaman ‘hingusan’ semua orang. Jenuh jugak la nak ingat kelas mana kan. dah hampir 8 tahun meninggalkan zaman sekolah.

UPDATE 2: Mini Reunion Port Dickson
….walopun ada yg bertanya "ai brapa kerat je yang datang?" aku tetap xkesah. terpulang la. kami xde pun target berpuluh2 orang pg. sebab dari awal dah tau masing2 pakat ada komitmen sendiri. jadi mana yang ada je kami proceed. bukan jadi masalah pun sesapa yang saja nak boikot xnak pegi. xjadi kudis pun. pada aku senang, kalo nak join jom. kalo xnak sudah. aku xpaksa. tp stop la kutuk2 blakang and kondem apa orang lain buat. niat hanya satu, nak jumpa kawan2 n nak merapatkan ukhuwwah sesama kita. pada yang datang terima kasih banyak, pada yang xdapat datang tp sentiasa support next time kita buat lagi korang boley join n pada yang xberminat nak datang komen sana sini berdegar2 korang pulak arrange reunion ! senang sket ye. kami datang bawak diri je. ok kan? :-)

thanks pada bebudak 15 kerat plus 1 ejen tambahan sbb memeriahkan suasana dan bersungguh bagi komitmen. Pada khalil, thanks a lot kerana telah bertindak dengan jayanya sbg ketua kampung sementara program picnic kita ni. pada kawan2 yang telah mengeluarkan tenaga dan wang ringgit, jasa korang sangat lah dihargai. suka betul aku, zaman skang pg picnic xyah paksa2 bayar. sumer berebut2 blanja. hehe. nanti korang blanja lagi ye. arip, nak laksa!!!!!!!

Participantas:
khalil, adi, umi, siti, amer, adan, nurul, arip, shikin, aye, riza, ali, hasrul, sepol, bk n farez

Bookmark and Share

Erti kemerdekaan – How low had we become?

Uncategorized No Comments »

Hari ini saya merasa sangat sedih melihat apa yang terjadi…

Tak dinafikan ada segolongan kecil yang mendokong idealis yang diwar-war dari seorang individu. Tapi mentaliti Melayu ini amnya tidaklah terlalu “bersih” dan kompleks yang mana ianya terlalu mengambil berat “keadilan semua”… Orang Melayu marah kerana kos hidup mereka meningkat, harga petrol dan barang keperluan am naik, taraf hidup mereka terdesak dan tertekan; lalu kaitannya ialah korupsi, nepotisme dan justeru ketidakadilan dicanangkan berlaku. Orang Melayu bukannya marah sangat kerana korupsi dan nepotisme berlaku; yang lalu kesannya adalah kesusahan mereka pada hari ini. Yang paling penting adalah kesan yang dirasa, sebab sudah jadi perkara kedua, nauzubillah…

Jangan cuba bezakan taraf intelektual orang kampung dengan seorang yang berijazah sarjana muda.. fikiran mereka tidak sejauh anda (cuba semak, atau barangkali anda juga kadang tak ada bezanya?)

Justeru hari ini seperti yang pernah terjadi kepada nenek moyang kita suatu ketika dahulu.. kita memilih untuk memenuhkan tembolok sendiri, menyenangkan makan pakai kita dengan tidak lagi berkira cara itu betul atau jelas meragukan… yang penting adalah diri sendiri saja…

Dan bagi orang-orang yang sebegini… betapa rendahnya maruah kita sebagai seorang Islam dan Melayu?

Tun Mahathir silap bahawa orang Melayu mudah lupa. Tun… hakikat sebenarnya kita sememangnya tidak pernah belajar..

Ya Allah,
Apakah aku yang tersalah sebenarnya? Barangkali ada cahaya yang menanti kami dihujungnya yang telah Engkau sediakan cuma aku yang jahil, degil dan tak pantas  untuk mengakuinya?

Atau akan perlukah kami belajar sekali lagi dengan cara yang menyakitkan… agar kami tahu erti penat jerih, keringat, tangis dan air mata darah nasionalis dan pendekar-pendekar Melayu dari abad dan dekad-dekad lalu… harga dari kemerdekaan Tanah Melayu ini? Pada-Mu ku bermohon… Pada-Mu aku pasrah…

PKR pertahan kerusi Permatang Pauh
(Utusan Malaysia, 27 Ogos 2008)
BUKIT MERTAJAM 26 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan majoriti 15,671 undi.

Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar, 61, yang memperoleh 31,195 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, yang meraih 15,524 undi.

Seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hanya mendapat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.

Anwar semasa berucap kepada ribuan penyokongnya selepas pengumuman keputusan itu berkata, ia merupakan kemenangan rakyat.

Beliau turut mengulangi hasratnya untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru bersama pakatan pembangkang bagi mentadbir negara.

Katanya, keputusan pilihan raya itu merupakan isyarat awal ke arah mencapai matlamat tersebut.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Permatang Pauh, Roslan Yahaya pada pukul 10.05 malam ini di pusat penjumlahan undi Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.

Sebanyak 38,144 atau 65.25 peratus daripada keseluruhan 58,459 pengundi keluar mengundi walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan renyai-renyai pada tengah hari.

Sebanyak 490 anggota polis telah membuang undi secara pos Sabtu lalu.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR bertanding di kawasan itu.

Anwar merupakan penyandang kerusi itu dari 1982 sehingga beliau dipecat dari UMNO dan kerajaan pada 1998.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 1999.
- 27 Ogos 2008

Bookmark and Share

Theme & Icons by N.Design Studio.
Entries RSS Comments RSS Log in